
KENYATAAN Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan UMNO berpendirian untuk menghormati Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan (NS) Datuk Seri Aminuddin Harun namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara menimbulkan persoalan.
Timbul tanda tanya, apakah dengan pendirian itu ia bermaksud UMNO terus berada dalam Kerajaan Negeri Sembilan tetapi tidak percaya kepada Aminuddin? Kalau itu berlaku adakah ia bermakna UMNO tidak akan memegang apa-apa jawatan dalam Kerajaan Negeri sebab ADUN tidak percaya Aminuddin?
Bagaimana UMNO akan menyokong dasar dan tindakan Kerajaan Negeri, kalau mereka tidak percaya kepada Aminuddin yang menerajui pentadbiran negeri, apatah lagi mereka berkata hilang kepercayaan terhadap beliau sebab Menteri Besar itu membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Kalau betul lah begitu, macam mana UMNO mahu terus bekerja dan bekerjasama dengan orang yang bersikap sepertimana didakwa? Atau adakah UMNO akan bertahan sehingga sidang DUN akan datang untuk menyingkirkan Aminuddin melalui undi tak percaya?
Atas sebab itu penulis bersetuju dengan gesaan UMNO melalui Asyraf Wajdi supaya diadakan segera pertemuan antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan bagi merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.
‘’Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan,’’ kata Asyraf Wajdi.
Tetapi sebelum itu adalah lebih molek jika UMNO menyatakan secara tegas, terang, tuntas ke mana arah tuju UMNO dalam kemelut antara ADUN BN dengan Aminuddin.
UMNO tidak boleh buat keputusan yang dilihat boleh menimbulkan kekeliruan atau dianggap mahu ambil jalan selamat. Contohnya, kalau sudah tidak sokong Menteri Besar lebih baik jangan pegang jawatan dalam Exco.
Namun atas alasan kestabilan, UMNO jadilah ‘separuh pembangkang,separuh kerajaan’, tegur yang mana patut, sokong yang mana wajar. Soal sama ada Aminuddin akan digantikan atau tidak…itu urusan Pakatan Harapan.
Lagipun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sepertimana kata Aminuddin minta Menteri Besar itu meneruskan tugasnya ‘’sehingga waktu sesuai’’. Jadi tunggu sahajalah…mungkin sebelum pilihan raya, mungkin selepas pilihan raya.
Kalau demi kestabilan politik Negeri Sembilan, baguslah UMNO terus sokong Kerajaan Perpaduan sehingga pilihan raya selesai. Lagipun sebagai parti seperti yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara sudah pasti UMNO akan menghormati apa juga pendirian Yang Dipertuan Besar.
Baginda sudahpun meminta supaya Aminuddin meneruskan tugas menyelesaikan masalah rakyat, maknanya ADUN Sikamat itu masih sah dan kekal sebagai Menteri Besar.
Oleh itu dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan krisisi tenaga global dan dalam situasi rakyat sedang bergelut meneruskan kehidupan, janganlah dibebankan mereka dengan kemelut politik.
Pada masa sama kerajaan pusat juga sedang merangka pelbagai strategi bagi mengurangkan beban rakyat, oleh itu urusan politik selesai secara politik, jangan seret rakyat untuk terjebak dalam percaturan politik mana-mana pihak.
Apapun pendirian UMNO perlu jelas. Ia memandangkan apa yang berlaku telah menjejaskan hubungan parti itu dengan PH terutamanya di Negeri Sembilan. Dan penulis percaya ia kini ibarat ‘luka yang sudah dibalut’’.
Kalaupun sembuh, parutnya pasti ada..dan apabila parut itu masih kelihatan…semua orang tahu apa kesannya.


