Tujuh maut, 112 cedera dua kereta api bertembung di Mesir

SEKURANG-kurangnya tujuh orang maut, manakala 112 lagi cedera selepas dua kereta api bertembung di selatan Kaherah, Mesir, semalam menyebabkan beberapa gerabak tergelincir dari landasan.

Nahas itu berlaku apabila sebuah kereta api yang dalam perjalanan dari Giza menuju Fayoum merempuh bahagian belakang sebuah lagi tren yang bergerak dari Kaherah ke Aswan.

Pihak Berkuasa Kereta Api Mesir dalam kenyataan memaklumkan, perlanggaran itu menyebabkan beberapa gerabak terkeluar dari landasan.

Menurut Kementerian Kesihatan Mesir, kesemua mangsa yang cedera dibawa ke beberapa hospital sekitar Giza untuk mendapatkan rawatan.

Kecederaan dialami mangsa termasuk lebam, luka, patah tulang anggota badan, pelvis dan tulang belakang, selain kecederaan di bahagian kepala, muka serta dada.

Daripada jumlah itu, 45 pesakit dibenarkan pulang selepas menerima rawatan, manakala tujuh lagi dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berkata, beliau mengikuti perkembangan nahas berkenaan dengan penuh kebimbangan.

Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti sebarang unsur kecuaian serta memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here