PERSIDANGAN Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) bermula hari ini, menghimpunkan pemimpin telekomunikasi, pembuat dasar dan wakil kerajaan dari seluruh dunia untuk merangka masa depan ketersambungan digital global.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang mengetuai delegasi Malaysia, dijadual menyampaikan kenyataan dasar negara semasa sesi pleno pertama pada jam 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia), di Pusat Pameran dan Konvensyen Doha (DECC).
Persidangan empat tahun sekali itu yang diadakan dari 9 hingga 27 November, merupakan badan pembuat keputusan tertinggi ITU yang menentukan hala tuju strategik, dasar dan kepimpinan organisasi tersebut bagi kitaran empat tahun akan datang.
Penyertaan Malaysia membawa kepentingan yang tinggi, kerana negara berusaha untuk mengekalkan kerusinya dalam Majlis ITU yang dianggotai 48 ahli bagi penggal 2027-2030.
Menurut program rasmi, Fahmi akan memulakan jadualnya dengan mesyuarat rasmi Ketua-Ketua Delegasi diikuti dengan majlis perasmian pada jam 11 pagi, lapor Bernama.
Pada sela-sela persidangan tersebut, beliau dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa rakan sejawat, termasuk wakil dari Fiji, Costa Rica dan Finland, sebagai sebahagian daripada jangkauan diplomatik Malaysia.
Fahmi juga dijangka bertemu wakil kanan GSMA, untuk meneroka peluang bagi mengukuhkan penglibatan dengan industri komunikasi mudah alih global.
PP-26 juga akan menyaksikan negara-negara anggota memilih kepimpinan eksekutif tertinggi ITU, ahli-ahli Lembaga Peraturan Radio dan 48 negara, yang akan berkhidmat dalam Majlis ITU.
Fahmi kini dalam lawatan kerja ke Doha dari 6 hingga 11 November untuk mengetuai delegasi Malaysia ke PP-26 ITU dan memastikan pemilihan semula Malaysia ke Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.
Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran.





