JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berharap isu penyelewengan dana zakat yang dikaitkan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini, tidak melunturkan kepercayaan umat Islam untuk terus menunaikan kewajipan zakat kepada institusi pungutan zakat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, penyelewengan yang didakwa berlaku itu membabitkan peringkat pihak ketiga, justeru, Jakim berharap masyarakat terus memberi kepercayaan kepada agensi agama Islam di peringkat negeri yang bertanggungjawab urusan berkaitan pungutan dan agihan zakat.

Beliau turut meminta masyarakat untuk tidak membuat kesimpulan awal mengenai kes itu dan sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya.
“Kepada masyarakat di luar sana percayalah bahawa majlis agama Islam negeri (MAIN) yang diberi kepercayaan untuk kutipan zakat tidak terbabit dalam situasi ini. Apa berlaku adalah di peringkat pihak ketiga yang mungkin menyalahgunakan atau tidak bertanggungjawab menggunakan dana terbabit.
“Percayalah dengan agensi-agensi agama di peringkat negeri. Mereka melaksanakan tanggungjawab seikhlas hati dengan memenuhi semua kriteria dan prosedur ditetapkan,” katanya selepas menyempurnakan peluncuran Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Sekolah Angkat MADANI (SAM) JAKIM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, Kampung Buaya, di Padang Rengas, Perak hari ini.
Media sebelum ini melaporkan mengenai penyelewengan dana zakat kira-kira RM230 juta yang kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila dikaitkan dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sirajuddin menasihatkan pembayar zakat hanya membuat bayaran kepada institusi zakat dalam negeri tempat pembayar itu menetap atau bekerja, sesuai dengan ketetapan diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Katanya, bagi pembayaran zakat melalui ejen juga, mereka perlu berbuat demikian kepada wakil dilantik atau ditauliahkan oleh MAIN negeri tempat pembayar itu menetap sahaja.
“Walaupun ejen, ia kategori amil kerana dia yang mengutip dan mengagihkan balik kepada pihak MAIN. Ertinya, jika ia dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri itu tidak mengapa, di mana ejen itu tiada kuasa untuk mengutip di negeri lain.
“Di peringkat Persekutuan, kita diberi tanggungjawab melalui Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk membincangkan isu pembayaran zakat di luar daripada tempat tinggal atau kepada pihak yang mengutip zakat di negeri yang berbeza.
“Perkara ini sudah diputuskan oleh MKI dan sudah dibentangkan sehingga mendapat perkenan Majlis Raja-Raja bahawa perkara itu (membayar zakat di luar negeri) adalah menjadi kesalahan,” katanya.


