JDT tampil berani, Chelsea nyaris tewas di Iskandar Puteri

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan aksi cukup meyakinkan apabila berjaya menyekat Chelsea 3-3 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.

Lebih 28,000 penyokong yang hadir menyaksikan JDT terlebih dahulu menggegarkan  gawang Chelsea menerusi Arif Aiman pada minit ke-14.

Gerakan tersebut bermula daripada Guilherme yang kemudian melorongkan bola kepada Arif Aiman. Tanpa kawalan ketat, pemain berkenaan tidak berdepan masalah untuk menolak bola melepasi penjaga gol Chelsea, Eddy Sharman Lowe bagi memberikan Harimau Selatan kelebihan 1-0.

Jaringan itu cukup istimewa buat Arif Aiman kerana ia merupakan gol keduanya dalam aksi persahabatan antarabangsa. Sebelum ini, dia pernah mencetak gol ketika JDT berdepan Borussia Dortmund di Stadium Larkin pada 28 November 2022, dalam perlawanan yang menyaksikan JDT tewas 1-4.

Bagaimanapun, sebelum JDT membuka tirai jaringan, Chelsea terlebih dahulu menguji ketahanan pertahanan tuan rumah.

Nicolas Jackson melakukan percubaan dari luar kawasan penalti seawal minit kedua, tetapi bola gagal menemui sasaran. Jackson sekali lagi hampir mencipta ancaman pada minit ke-12, namun Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berjaya menampan percubaannya sebelum bola diselamatkan daripada terus membahayakan gawang JDT.

JDT pula hampir menambah kelebihan pada minit ke-32. Oscar Arribas melakukan larian pantas melepasi Jamie Gittens sebelum melepaskan rembatan deras, tetapi bola sekadar tersasar tipis walaupun Sharman Lowe sudah tidak mampu berbuat apa-apa.

Chelsea akhirnya kembali ke dalam permainan pada penghujung separuh masa pertama.

Kevin Medina melakukan kekasaran terhadap Liam Delap di dalam kotak penalti, menyebabkan pengadil Tuan Mohamad Yaasin Tuan Mohd Hanafiah menghadiahkan sepakan penalti kepada Chelsea.

Delap mengambil tanggungjawab tersebut dan menyempurnakannya untuk mengikat kedudukan 1-1, lima minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Penyerang Chelsea itu hampir mencipta gol kedua sebelum rehat, tetapi sepakan leretnya pada minit ke-44 hanya melintasi sisi gawang ketika Ahmad Syihan sudah menutup ruang.

JDT terus menunjukkan keberanian selepas permainan bersambung.

Pada minit ke-48, Eddy Israfilov membuka ruang kepada Shahab Zahedi menerusi satu tolakan bola. Zahedi berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan percubaan leret, namun Gabriel Slonina yang menggantikan Sharman Lowe berjaya menangkap bola tersebut.

Chelsea kemudian mendapat satu lagi peluang menerusi sepakan penalti pada minit ke-61.

Tindakan Israfilov yang mengasari Gittens di dalam kawasan penalti menyebabkan pengadil sekali lagi menunjuk ke arah titik penalti. Delap sekali lagi menjadi pelaksana dan berjaya menyempurnakan sepakan berkenaan untuk meletakkan Chelsea di depan 2-1.

Namun, JDT hanya memerlukan tiga minit untuk menghasilkan tindak balas.

Arribas mengambil sepakan percuma yang menghasilkan bola lencong sebelum terkena benteng Chelsea dan berubah arah sehingga memperdayakan Slonina. Gol tersebut menghidupkan kembali perjuangan JDT apabila kedudukan kembali seimbang 2-2.

Drama semakin memuncak pada penghujung perlawanan apabila JDT sekali lagi mendahului.

Kesilapan Dario Essugo pada minit ke-86 ketika cuba menolak bola ke belakang dimanfaatkan Bergson da Silva. Pemain gantian itu kemudian menggelecek melepasi dua pemain pertahanan Chelsea sebelum melakukan rembatan leret ke penjuru kanan gawang yang gagal diselamatkan Slonina.

JDT ketika itu hanya berbaki beberapa minit untuk mencipta kemenangan sensasi.

Bagaimanapun, Chelsea berjaya mengelakkan kekalahan menerusi gol sendiri Antonio Glauder pada minit ke-89. Pemain JDT itu tertanduk bola ke arah gawang sendiri, menyebabkan Ahmad Syihan tidak mampu berbuat apa-apa ketika bola menerjah jaring.

Kedudukan 3-3 kekal sehingga tamat permainan, sekali gus menyaksikan JDT berjaya mengekang Chelsea dan pada masa sama hampir mencipta salah satu kejutan terbesar dalam aksi persahabatan antarabangsa tersebut.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img