JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan Imigresen FC (IFC) 0-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan di Pulau Pinang petang ini.
Bermain di gelanggang lawan, separuh masa pertama menyaksikan JDT terpaksa bekerja keras, meskipun mereka dilihat lebih banyak menguasai padang.
JDT hampir membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi John Irazabal, namun peluang terbuka di hadapan pintu gol itu, gagal disempurnakan sebaiknya pemain tersebut.
Harimau Selatan terus menggandakan asakan dengan beberapa percubaan merbahaya ke arah pintu gol tetapi pertahanan tuan rumah yang ampuh, memastikan gawang mereka tidak mudah dibolosi.
Bagaimanapun selepas lapan percubaan, JDT akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila John Irazabal berjaya menanduk masuk gol pertama perlawanan pada minit ke-43, hasil sepakan sudut Arif Aiman, lapor Bernama.
IFC cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan, namun cubaan pemain import Elvis Kamsoba pada minit ke-45 sekadar melambung tinggi melepasi gawang.
JDT yang menerima suntikan terus beraksi cemerlang di babak kedua dan tidak menunggu lama untuk menambah jaringan menerusi Jairo De Macedo Da Silva, pada minit ke-58.
Jao Vitor Brandao Figueiredo memastikan JDT pulang selesa, apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-77, sekali gus memberikan kemenangan selesa buat pasukan Harimau Selatan.
Kemenangan itu meletakkan JDT di takhta liga dan merampas kedudukan itu daripada Kuala Lumpur City (KL) FC, dengan mengutip 12 mata daripada empat perlawanan.


