PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa meninjau raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2025 serta menyantuni petugas perarakan di Dataran Putrajaya, Putrajaya.
Ketibaan Anwar pada 8.38 pagi disambut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.
Anwar yang meluangkan hampir 20 minit di Dataran Putrajaya turut menerima sorakan gemuruh sebaik menyantuni peserta persembahan teres grafik manusia yang terdiri daripada 2,000 pelajar yang mengadakan persembahan bersempena dengan acara raptai itu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Julina Johan.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan bermula seawal 7 pagi Ahad ini dengan ketibaan pemimpin negara, diikuti keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Sambutan akan dimulakan dengan acara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, lafaz ikrar Rukun Negara dan perarakan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan sejauh 2.1 kilometer.
Sebanyak 14,010 peserta, 78 aset kenderaan, tujuh kereta berhias, 116 haiwan dan 21 kumpulan pancaragam bakal memeriahkan perarakan pada sambutan kali ini.
SEMENTARA ITU, Esok Anwar kan menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 bagi meniupkan semangat perpaduan dan patriotisme rakyat pada ambang sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Majlis yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, itu menyasarkan kehadiran lebih 4,000 tetamu antaranya penjawat awam dari pelbagai agensi dan jabatan, wakil badan beruniform, warga pendidik sekolah dan institusi pendidikan tinggi, pelajar, belia, wakil kesatuan sekerja serta usahawan, koperasi dan penjaja kecil .
Majlis akan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Antara pengisian majlis amanat itu termasuk lafaz ikrar Rukun Negara oleh sukarelawan siswa bersama kanak-kanak Tabika Perpaduan dan persembahan kebudayaan “Harmoni MADANI”.


