Jemaah haji Malaysia dinasihatkan tumpu ibadah, ikuti perkembangan semasa melalui sumber sahih

JEMAAH haji Malaysia  dinasihatkan menjaga kesihatan, keselamatan diri, menumpukan kepada ibadah serta sentiasa mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa dengan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih seperti Tabung Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hassan mengingatkan mereka, jangan mempercayai berita yang tidak tentu sumbernya.

‘’Jangan membuat perkara yang dilarang, yang tidak bersesuaian ketika berada di Tanah Suci. Fokus pada ibadah seperti mana yang telah dipelajari semasa mengikuti kursus haji,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1447H/2026M di KLIA hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad.

Sebanyak 284 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci awal pagi ini, menandakan bermulanya musim haji bagi 1447H/2026M.

Kumpulan pertama itu berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.05 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada 7.50 pagi waktu tempatan (Arab Saudi), hari yang sama.

Mereka terdiri daripada 141 jemaah yang berlepas dari stesen Alor Setar di Kedah dan 143 jemaah dari stesen Sepang.

Zulkifli berkata beliau bersama rombongan juga akan berlepas ke Tanah Suci pada 19 Mei bagi melakukan lawatan kerja, menyantuni jemaah haji Malaysia seterusnya menunaikan haji.

“Insya-Allah seperti mana dijadualkan saya akan berangkat ke Tanah Suci pada 19 Mei. Saya akan ada pelbagai program, termasuk bertemu jemaah haji kita di Tanah Suci,” katanya.

Penerbangan terakhir membawa 31,600 jemaah haji Malaysia adalah pada 20 Mei ini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img