JEMAAH Menteri hari ini menzahirkan doa agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan ketika ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Dr Mahathir kini berada di Institut Jantung Negara (IJN) dan masih dalam pemantauan pasukan perubatan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan turut merakamkan ucapan takziah kepada Dr Mahathir serta seluruh keluarga susulan pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, Allahyarham Dr Siti Hasmah merupakan seorang tokoh wanita yang banyak menyumbang kepada negara dan disegani dalam kalangan masyarakat.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bersama seluruh Jemaah Menteri dan kerajaan merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah.
“Allahyarham merupakan tokoh wanita serta negarawan yang amat dihormati,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, di Putrajaya hari ini.
Fahmi turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri menerima ucapan takziah daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan menerusi perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin.
Allahyarham Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di IJN pada jam 9.20 pagi kelmarin. Jenazah beliau kemudiannya disemadikan di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya.





