PERTEMUAN kira-kira 90 minit bersama Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali seminggu sebelum pemergiannya kini menjadi kenangan yang amat bermakna buat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isterinya, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.
Ahmad Samsuri berkata, pertemuan serta makan malam di kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham pada malam Ahad 20 September lalu, meninggalkan kesan mendalam kepada mereka berdua.
Menerusi hantaran di media sosialnya hari ini, beliau berkata, pertemuan berkenaan berlangsung dalam suasana penuh kemesraan, selain Allahyarham masih menunjukkan semangat tinggi ketika berbicara mengenai isu kesejahteraan masyarakat.

Antara perkara yang menjadi perhatian Allahyarham adalah aspek kesihatan wanita, khususnya dalam kalangan masyarakat di kawasan pedalaman.
“Tun Hasmah mula membuka bicara dengan semangatnya yang luar biasa, bercerita mengenai kesedaran aspek kesihatan di kalangan kaum wanita, terutama di desa, supaya tidak segan menjaga kesihatan keluarga.
“Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk turun memberi ceramah kesedaran kesihatan wanita, membuktikan semangat juang Allahyarham tidak pernah pudar,” katanya dalam hantaran itu.
Menurut Ahmad Samsuri, Allahyarham turut berkongsi pengalaman ketika mula berkhidmat sebagai doktor perubatan wanita di pedalaman Kedah selepas mendirikan rumah tangga bersama Dr Mahathir.
Antara kisah yang dikongsikan termasuk pengalaman Allahyarham membonceng motosikal bagi mendapatkan rawatan kepada pesakit di kampung sebelum terjatuh ke dalam bendang akibat keadaan jalan yang berlubang.
Menceritakan lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pertemuan malam tersebut turut diserikan dengan cerita mengenai sifat penyayang dan teliti Allahyarham, termasuk minatnya terhadap warisan tradisi songket Terengganu.
Beliau berkata, suasana makan malam yang sederhana itu turut dipenuhi gelak tawa apabila Allahyarham mengusik Dr Mahathir mengenai gelagat masyarakat daripada pelbagai peringkat usia yang berebut untuk bergambar bersama mereka.
“Pernah juga Allahyarham berpesan kepada kami untuk selalu datang ke rumah kerana bicara di rumah adalah lebih dekat berbanding di pejabat atau tempat awam. Pertemuan ini akan sentiasa menjadi kenangan yang amat berharga buat saya dan isteri,” tambahnya.
Dalam hantaran sama, Ahmad Samsuri turut menyampaikan ucapan takziah kepada Dr Mahathir dan seluruh keluarga atas pemergian Allahyarham semalam.
“Semoga Allah SWT mengampuni Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkannya dalam kalangan hambaNya yang beroleh rahmat,” ujar beliau.
Jenazah Allahyarham Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara, di Presint 20, Putrajaya lewat petang semalam.
Istiadat pengebumian Allahyarham turut disempurnakan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.





