JENAZAH Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, rakyat Malaysia yang maut ditikam ketika meleraikan pergaduhan di Korea Selatan minggu lalu dijangka tiba di tanah air petang esok.
Perkara itu disahkan adik mangsa, Ain Sephia, 25, yang memaklumkan keluarganya baru dimaklumkan mengenai urusan membawa pulang jenazah abangnya.
Beliau berkata, jenazah akan dibawa pulang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada jam 11 pagi.
“Penerbangan itu dijangka tiba di Malaysia sekitar jam 4.30 petang esok.
“Sebaik tiba, jenazah akan terus dibawa ke Masjid Bandar Tasik Puteri Rawang untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tasik Puteri selepas solat Isyak,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Media sebelum ini melaporkan ahli keluarga Ahmad Shah terkejut dan tidak percaya selepas menerima berita mengenai kematiannya yang dipercayai akibat ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan berkumpulan di Korea Selatan.
Allahyarham Ahmad Shah, 26, seorang pekerja sektor perkilangan disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan, selepas cedera parah pada bahagian perut, akibat ditikam dengan pisau.
Beliau yang menetap di sana sejak 2019, datang ke lokasi kejadian pergaduhan itu bersama isterinya dari kediaman mereka, selepas rakannya yang juga rakyat Malaysia menghubunginya bagi mendapatkan pertolongan.
Difahamkan suspek yang menikamnya serta beberapa lagi individu lain yang terbabit dalam pergaduhan itu juga rakyat Malaysia.
Suspek utama dan individu lain yang terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan.
Susulan kejadian itu, anggota Balai Polis Eumseong menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga rakyat Malaysia bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh serta beberapa kesalahan lain.





