ALLAHYARHAM Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan disemadikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya bersebelahan pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat pihak keluarga dan telah dimaklumkan kepadanya.
“Allahyarham akan dikebumikan di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya.
“Pihak BIPAR (Bahagian Istiadat, Protokol dan Urusan Raja-Raja) sudah memaklumkan kepada saya bahawa Allahyarham akan disemadikan bersebelahan dengan pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di The Mines, Seri Kembangan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut mengarahkan semua stesen televisyen dan radio menyesuaikan rancangan serta program sepanjang hari ini sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham.
Fahmi memberitahu, pemergian Allahyarham disifatkan sebagai sesuatu yang tidak dijangka dan jasa beliau akan sentiasa dikenang.
“Beliau sangat bermakna kepada ramai orang dan jasa beliau sebagai seorang ibu, sebagai seorang doktor, akan sentiasa kita kenang,” katanya.





