Jerebu: Malaysia sedia gerak aset bantu tangani kebakaran hutan Indonesia

KERAJAAN sedia menggerakkan aset bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan yang mengakibatkan jerebu, namun masih menunggu pengesahan serta kebenaran daripada negara berkenaan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar kepada Jemaah Menteri.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan juga Wisma Putra ada memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa senarai aset-aset yang mampu kita sediakan untuk membantu negara jiran telah disampaikan.

“Tapi sehingga sekarang belum ada pengesahan tentang apa-apa bentuk kerjasama untuk menggunakan aset-aset dari Malaysia untuk membantu memadam kebakaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian dalam sidang media mingguan Pasca Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Fahmi dalam pada itu berkata, perkara berkenaan telah dipanjangkan melalui kedutaan serta Wisma Putra, manakala Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) juga telah menyediakan aset yang diperlukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menggesa menteri-menteri ASEAN memandang serius isu jerebu rentas sempadan dan menambah baik mekanisme sedia ada bagi menangani masalah berkenaan.

Beliau berkata, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam mekanisme ASEAN ketika ini, terutama mengambil kira kesan jerebu terhadap kehidupan dan kesihatan orang ramai.

Sebelum ini media melaporkan sebanyak 40 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Jerebu di Malaysia ketika ini berpunca daripada asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di wilayah Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang dibawa oleh tiupan angin merentasi sempadan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here