KENAIKAN harga diesel memberi kesan besar kepada golongan pesawah apabila kos tanaman padi melebihi RM3,000 bagi setiap ekar berbanding RM2,000 sebelum ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, peningkatan kos itu berpunca daripada kebergantungan tinggi sektor penanaman padi terhadap penggunaan diesel dalam pelbagai peringkat operasi.
“Membajak, menuai dan pam air pakai diesel. Sedangkan jentera membajak dan menuai tidak menerima subsidi di bawah Budi Agri-Komoditi.
“Belum lagi menyentuh isu kelewatan dan kerumitan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Kementerian Kewangan mengumumkan harga runcit bagi diesel di Semenanjung terus meningkat pada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April susulan krisis tenaga dunia yang berlanjutan.
Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 50 sen berbanding tempoh sebelumnya, RM5.52 seliter.
Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, beliau bersama beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang telah turun padang dan mendengar sendiri keluhan pesawah yang terkesan.
“Mereka ini adalah antara golongan rakyat yang paling terkesan dengan kenaikan mendadak harga diesel,” ujarnya.


