POLIS masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat bayi dalam keadaan tidak sempurna di kawasan Perumahan Padang Setengge, Hulu Terengganu, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, bedah siasat ke atas mayat bayi itu selesai dijalankan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, pagi tadi.
Bagaimanapun, katanya, jantina dan status kewarganegaraan bayi berkenaan masih belum dapat dipastikan.
“Mayat bayi itu ditemukan dalam keadaan tidak sempurna, dengan hanya satu tangan sahaja,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu menerima maklumat mengenai penemuan mayat bayi itu daripada seorang lelaki pada jam 6.52 petang semalam.





