Lagi kes di Kem Hobart: 2 tentera cedera ketika latihan senjata

DUA anggota tentera cedera selepas terkena serpihan objek melantun ketika melakukan latihan membabitkan senjata berat di Kem Hobart, di Gurun semalam.

Ini kejadian kali kedua dalam tempoh kira-kira dua minggu membabitkan kem sama selepas dua anggota maut akibat letupan ketika menjalani Latihan Membaling Grenad di kem itu pada 16 Jun lalu.

DATUK Adzli Abu Shah bercakap kepada pemberita berhubung kes terbaharu dua anggota tentera cedera ketika menjalani latihan membabitkan senjata berat di Kem Hobart, Gurun semalam

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.05 petang semalam, seorang pelatih berpangkat koperal berusia 29 tahun cedera pada lutut kiri, manakala jurulatih berpangkat sarjan, 35, dilapor cedera pada paha kiri.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama peserta lain menjalani latihan pelbagai senjata yang diadakan bermula 28 Jun dan dijadual tamat Khamis ini.

“Apabila membabitkan senjata berat, setiap pelatih perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan latihan itu dan perlu ada pengasuh atau jurulatih.

“Jurulatih terbabit yang sudah berkhidmat selama 16 tahun dalam tentera dan berpengalaman sebagai jurulatih selama sembilan tahun sudah dibenarkan keluar dari Hospital Sik, manakala pelatih terbabit dipindahkan dari Hospital Sik ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH),” katanya.

Menurut Adzli, pihak hospital mengesahkan kecederaan dialami kedua-dua mangsa bukanlah akibat tembakan peluru, tetapi terkena serpihan objek di kawasan itu.

Katanya, kejadian berlaku akibat masalah teknikal dan apabila tembakan berlaku, senjata itu berhenti dengan sendirinya.

“Apabila diperiksa, secara tiba-tiba berlaku letupan dan berkemungkinan objek di situ seperti batu melantun dan terkena mangsa.

“Pelatih itu pula dipindahkan ke HSAH disebabkan doktor khuatir berkemungkinan kecederaan dialami membabitkan saraf selain mengalami pendarahan yang banyak, ” katanya.

Adzli berkata, setakat ini pihaknya memberi ruang kepada mangsa untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana keadaannya belum stabil.

Tambah beliau, pegawai Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah serta pihak tentera sedang melakukan siasatan di lokasi.

“Saya sudah melawat lokasi kejadian dan melihat keadaan di situ, namun siasatan masih diteruskan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 iaitu nmenyebabkan kecederaan semasa melepaskan tembakan, ” katanya.

Mengenai siasatan terhadap kes kematian membabitkan dua anggota tentera di kem sama sebelum ini, beliau berkata ia diserahkan kepada pihak tentera.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img