SEORANG remaja maut, manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh penghadang besi jalan di Jalan Muar-Labis, Bukit Kepong dekat Muar awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu mengorbankan pembonceng motosikal berusia 15 tahun yang juga pelajar Tingkatan Tiga, manakala rakannya berusia 14 tahun yang menunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua remaja itu dalam perjalanan dari Kampung Raja, Bukit Kepong menghala ke Felda Chempelak, Labis.
Menurutnya, motosikal jenis Suzuki RU120LU dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi sebelum terbabas dan melanggar penghadang besi jalan.
“Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Penunggang motosikal pula mengalami kecederaan di tangan dan lutut sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati penunggang motosikal berkenaan tidak memiliki lesen memandu.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




