JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) diarah segera mengaudit serta menyiasat syarikat pengendali treler terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan tiga maut di Segamat, Johor Khamis lalu.
Menteri Pengangkutan Antony Loke berkata, syarikat berkenaan perlu dipertanggungjawabkan atas kegagalan memastikan disiplin pemandu mereka.
‘’Saya berharap pihak polis dapat menyelesaikan siasatan kes ini secepat mungkin dan pemandu tersebut dihadapkan ke mahkamah dengan kadar segera. Saya yakin pihak Peguam Negara akan mengarahkan pendakwaan tegas yang setimpal dengan kesalahan pemandu tersebut,’’ katanya melalui Facebook beliau.
Dalam kemalangan tersebut, tiga maut, manakala dua lagi cedera ringan dalam nahas melibatkan tiga kenderaan itu Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu.
Hari ini Anthony menziarahi ahli keluarga mangsa di Hospital Segamat dan menyampaikan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban kos rawatan.
Menurut beliau, dua mangsa masih menerima rawatan di hospital, dengan seorang berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai amat menyedihkan, terutama kerana ia dipercayai berpunca daripada penyalahgunaan dadah oleh pemandu treler terbabit.
“Sebahagian besar pemandu lori adalah profesional dan berdisiplin, namun masih terdapat segelintir yang tidak bertanggungjawab serta terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.
Anthony seterusnya mengingatkan semua pemandu agar tidak sesekali memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
‘’Akibatnya bukan sahaja membahayakan keselamatan dan masa depan diri sendiri, malah boleh membawa risiko yang mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain,’’ katanya.


