Empat maut, 1,912 kes pokok tumbang dalam tempoh enam bulan

SEBANYAK 1,912 kejadian pokok tumbang direkodkan di seluruh negara sepanjang enam bulan pertama tahun ini, mengakibatkan empat kematian dan 20 kecederaan, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, dalam tempoh sama, seramai 38 mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, Monsun Barat Daya yang membawa hujan lebat dalam tempoh singkat diikuti angin kencang menjadi antara faktor utama meningkatkan risiko kejadian pokok tumbang.

“Monsun Barat Daya membawa corak cuaca yang menyaksikan hujan lebat dalam tempoh singkat sebelum disusuli angin kencang. Keadaan ini meningkatkan risiko kejadian pokok tumbang terutama ketika berlaku tiupan angin kuat.

“Pokok yang ditanam di kawasan landskap pula mempunyai risiko lebih tinggi berbanding pokok semula jadi kerana struktur akarnya cenderung merebak ke tepi berikutan keadaan tanah yang bukan subsoil asal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sukan Bomba (Sukbom) 2026 di Endah Parade, hari ini, lapor Buletin TV3.

Nor Hisham berkata, sebanyak 26,001 kejadian pokok tumbang direkodkan di seluruh negara dari 2021 hingga Jun tahun ini, dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada 2024 iaitu 5,232 kes.

Katanya, pada tahun lalu pula sebanyak 4,488 kejadian direkodkan, manakala sepanjang tempoh berkenaan, insiden pokok tumbang mengorbankan 50 nyawa dan menyebabkan 243 individu cedera.

“Walaupun jumlah kes tidak meningkat secara konsisten, kejadian pokok tumbang masih memberi risiko serius terhadap keselamatan awam. Panggilan kecemasan berkaitan pokok tumbang kekal tinggi antara 4,400 hingga 5,200 kes setahun,” katanya.

Beliau berkata, ribut petir yang disertai angin kencang serta hujan lebat ketika fasa peralihan monsun merupakan antara faktor utama kejadian itu.

Katanya, kejadian pokok tumbang lazimnya bukan berpunca daripada satu faktor tunggal, sebaliknya gabungan keadaan cuaca, struktur pokok dan tahap penyelenggaraan.

Sehubungan itu, beliau menggesa audit keselamatan pokok dilaksanakan secara berkala terutama di kawasan berisiko tinggi seperti jalan utama, sekolah, hospital, taman awam dan lokasi tumpuan orang ramai bagi mengurangkan risiko terhadap keselamatan awam.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img