JPWPKL ambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat kes buli

JABATAN Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam insiden buli di sebuah sekolah di ibu negara, susulan tular perkongsian pelakon, Ako Mustapha yang mendakwa anaknya dipijak dan dipukul rakan sekolah.

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, setakat ini pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keramat sudah mengambil langkah perlu termasuk menghubungi ibu bapa dan penjaga murid terbabit, menjalankan siasatan dalaman menyeluruh serta melaporkan kes kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kata kenyataan tersebut, semua murid yang terbabit dalam kes itu sudah dirujuk untuk menjalani sesi bimbingan dan kaunseling.

Menurut JPWPKL, pihaknya memandang serius dan kesal terhadap kejadian salah laku buli membabitkan murid di sebuah sekolah sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini.

“JPWPKL menegaskan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap semua pihak yang terbabit selaras dengan peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa.

“Kami juga akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama ibu bapa yang terbabit,” katanya dalam kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan kes buli membabitkan anak Ako di sebuah sekolah di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman dilaporkan berkata, setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung kes berkenaan.

“Saya sahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju ada menerima laporan polis seperti yang dinyatakan. Setakat ini, tiada sebarang kertas siasatan dibuka,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, Ako atau nama sebenarnya, Muhaizad Ahmad Mustapha mendakwa anak lelakinya, Mikael Iskandar, 10, menjadi mangsa buli membabitkan lima pelajar di sekolahnya.

Menurutnya, kejadian itu disedari selepas anaknya pulang dari sekolah dengan kesan lebam pada badan.

Anak pelakon itu memaklumkan, dia dipukul oleh dua pelajar senior dan tiga rakan sekelas, dengan kesan kecederaan termasuk tapak kasut dan tumbukan pada bahagian badan.

Dalam perkembangan berkaitan, JPWPKL turut memaklumkan sudah merangka pelan intervensi bagi menangani kes buli secara menyeluruh dan berfokus.

“Masyarakat turut diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang kandungan di media sosial yang boleh mendedahkan identiti murid, khususnya yang membabitkan kanak-kanak bawah umur, demi menjaga kebajikan dan hak mereka.

“JPWPKL amat komited dalam menangani gejala buli secara menyeluruh bagi memastikan semua institusi pendidikan kekal selamat, kondusif dan sejahtera untuk murid, guru serta seluruh warga sekolah,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img