KEGIATAN pertaruhan haram sempena Piala Dunia FIFA 2026 dipatahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila menahan 554 individu dalam 422 serbuan di seluruh negara dengan nilai pertaruhan yang dikesan mencecah lebih RM3.2 juta.
Operasi bersepadu Op Soga XI yang dilaksanakan bermula 11 Jun hingga 19 Julai itu turut menyaksikan rampasan wang tunai berjumlah RM167,062.09.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 508 lelaki dan 46 wanita yang disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan sukan tanpa lesen serta perjudian dalam talian.
Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 341 orang adalah warga tempatan manakala 213 lagi warga asing.
“Dalam operasi ini juga, sebanyak 263 laman sesawang termasuk laman web, platform, aplikasi dan media sosial dikesan digunakan untuk aktiviti pertaruhan bola sepak dan promosi perjudian.
“Justeru, tindakan sekatan laman web dan penurunan kandungan akan dibuat dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya dalam kenyataan hari ini.
M. Kumar berkata, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik pelbagai agensi berkepentingan terutama MCMC bagi memantau aktiviti promosi dan pengiklanan perjudian melalui laman sesawang serta platform media sosial.
Katanya, semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan juga akan dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan yang disiasat termasuk bertaruh di rumah pertaruhan terbuka, menjadi pengutip pertaruhan, menguruskan premis digunakan sebagai rumah pertaruhan serta menghebah dan mempromosikan aktiviti pertaruhan.
Bagi warga asing pula, siasatan turut melibatkan kesalahan masuk dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
“PDRM akan terus mempergiatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan serta memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi berkepentingan.
“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” katanya.






