Tarik Sultan Nazrin ketika Hari Kebangsaan, wanita hidap skizofrenia didenda RM500

SEORANG wanita didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun lalu.

Tertuduh, Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Ridzuan yang turut memerintahkan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, ibu tunggal kepada lima anak itu didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin Shah di hadapan bangunan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang, dalam daerah Kinta, kira-kira jam 8.20 pagi pada 31 Ogos 2025.

Dia didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kesalahan kerana perbuatan itu dilakukan terhadap Sultan Perak ketika sambutan Hari Kebangsaan.

Menurutnya, hukuman itu juga wajar dijadikan pengajaran kepada tertuduh dan peringatan kepada orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Sementara itu, peguam Datuk Naran Singh yang mewakili tertuduh secara pro bono memohon hukuman minimum atas alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama, mengaku bersalah pada peringkat awal, menghidap skizofrenia serta sudah ditahan selama 55 hari membabitkan tempoh reman, siasatan, tahanan dan pemerhatian di hospital.

Pada 8 Oktober tahun lalu, mahkamah sama menolak pengakuan bersalah Nurhaswani Afni selepas dimaklumkan laporan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan menyatakan tertuduh menghidap skizofrenia dan tidak waras ketika kejadian.

Sebelum itu, pada 8 September 2025, tiada pengakuan direkodkan selepas mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan serta pemantauan di Hospital Bahagia selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut fakta kes, tertuduh menaiki Pentas Diraja ketika sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak sebelum meluru ke arah Sultan Nazrin Shah ketika lagu Negeri Perak dimainkan.

Walaupun cuba dihalang pegawai protokol, tertuduh menarik baginda sehingga hampir terjatuh sebelum berjaya ditahan anggota keselamatan.

Siasatan turut mendapati tertuduh dipercayai sengaja memakai pakaian serba hitam menyerupai pengawal keselamatan bagi membolehkannya memasuki kawasan Pentas Diraja.

Selepas kejadian, tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta dan disahkan menghidap skizofrenia.

Bagaimanapun, laporan psikiatri kemudian mengesahkan beliau layak dibicarakan serta berupaya memberikan pengakuan di mahkamah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img