Bahasa mudahnya, segala penjimatan daripada rombakan subsidi akhirnya digunakan untuk membayar faedah hutang yang melonjak,” – Datuk seri rafizi ramli
Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa kadar keberhutangan negara kini berada pada paras yang membimbangkan apabila jumlah keseluruhan hutang dalam negara dan luar pesisir mencecah RM1.3 trilion setakat Jun lalu, bersamaan 64.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kata beliau, jika pertumbuhan ekonomi perlahan atau berlaku kenaikan mendadak harga minyak mentah serta komoditi makanan, kerajaan bakal berdepan risiko sebenar kadar hutang melepasi garis 65 peratus daripada KDNK.
“Kita tidak boleh lari daripada ancaman nombor satu kepada kesejahteraan rakyat dan negara di masa akan datang, iaitu kadar keberhutangan yang tinggi,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.
Rafizi berkata, kadar keberhutangan itu tidak termasuk jaminan kerajaan terhadap agensi atau Syarikat Milik Kerajaan (GLC), serta projek kerjasama awam-swasta (PPP) yang meningkat sebanyak RM15 bilion dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Setakat tahun lalu, beliau berkata jumlah jaminan luar penyata kewangan kerajaan direkodkan sebanyak RM332.8 bilion atau 17.2 peratus daripada KDNK.
Katanya, antara jaminan terbesar adalah DanaInfra berjumlah RM85 bilion, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) (RM50 bilion), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) (RM41 bilion) dan Prasarana (RM42 bilion).
“Gambaran sebenar kadar keberhutangan negara ialah 64.7 peratus hutang kerajaan ditambah 17.2 peratus hutang dijamin kerajaan, menjadikan keseluruhan paras hutang mencecah 81.9 peratus daripada saiz ekonomi negara,” katanya.
Tegasnya, walaupun kerajaan menegaskan usaha pengurangan hutang sedang dijalankan, beliau menegaskan bayaran khidmat hutang meningkat dengan ketara daripada RM40.5 bilion pada 2022 kepada RM58.3 bilion bagi 2026, menyaksikan peningkatan sebanyak RM17.8 bilion.
Peningkatan itu, katanya hampir menyamai jumlah penjimatan hasil rombakan subsidi dan bantuan sosial, daripada RM67 bilion pada 2022 kepada RM49 bilion pada 2026.
“Bahasa mudahnya, segala penjimatan daripada rombakan subsidi akhirnya digunakan untuk membayar faedah hutang yang melonjak,” katanya.
Rafizi berkata, sistem pengurusan hutang negara perlu dirombak secara menyeluruh dan isu itu tidak boleh terus dianggap sebagai urusan eksklusif Kementerian Kewangan (MoF) semata-mata.
‘’Kita tidak boleh membuat rombakan-rombakan besar dalam perkara yang menyentuh poket rakyat atas nama pengukuhan fiskal.
“Tetapi hal ehwal pengurusan hutang dari bagaimana unjuran hutang baru dibuat, kepada bagaimana kerajaan menerbitkan hutang-hutang ini, ia kekal di bangunan Perbendaharaan tanpa penelitian dan perbahasan yang panjang dan baik oleh kementerian-kementerian lain atau Parlimen.
“Saya harap Jawatankuasa Pilihan Kewangan dan Ekonomi benar-benar meneliti perkara ini kerana Parlimen perlu memainkan peranan agar jumlah hutang dan khidmat bayaran hutang dikurangkan dengan drastik,” katanya.



