FORUM Strategik Massa (FSM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Yayasan Rukun Negara dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Melaka telah menganjurkan Wacana Rukun Negara di Era Media Sosial bertajuk Peranan Orang Muda dan NGO hari ini.
Program tersebut diadakan di SMK Munshi Abdullah di Batu Berendam pada 15 Julai lalu dihadiri kira-kira 320 peserta pelbagai kaum terdiri dari pelajar dan guru SMK Munshi Abdullah.

FSM dalam satu kenyataan memaklumkan, antara objektif program itu adalah meningkatkan kesedaran para pelajar berkaitan Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.
Selain itu, katanya, program ini bertujuan menyantuni anak-anak muda dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui nilai-nilai Rukun Negara yang semakin dilupakan.

Tambah kenyataan itu, program ini menampilkan Dekan Kuliyyah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Khairul Azami Sidek sebagai moderator.
“Barisan panelis pula terdiri daripada kalangan orang muda yang bersesuaian dengan peserta iaitu pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga Ikon Siswa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pemenang Anugerah Emas Remaja Rakan Muda, Muhammad Raif Kamarul Anwar.
“Selain beliau, turut hadir sebagai ahli panel ialah graduan Asasi Pintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pemenang ADN Muda Terbaik 2026 Negeri Selangor, G Thurgeswaran serta pemenang Anugerah Diraja Pandu Puteri Malaysia yang juga graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Queek Fang Ying,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut FSM, majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengetua SMK Munshi Abdullah, Ramli Abdullah; Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Munshi Abdullah, Alifah Sharudin para guru serta pengurusan utama FSM.
FSM merupakan sebuah perunding penyelidikan dan data bebas yang menawarkan analisis mendalam, perkhidmatan data selamat, dan cerapan strategik kepada pelanggan merentasi pelbagai sektor






