KERAJAAN memberikan suntikan kewangan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mengelakkan institusi itu berdepan risiko muflis susulan kerugian yang dialami.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu perlu bagi melindungi simpanan pendeposit, khususnya masyarakat luar bandar yang mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk menunaikan ibadah haji.
“Wang jemaah haji ini wang orang kampung, sudah diambil wang (ini) secara besar-besaran, berbilion-bilion.
“Yang orang kampung kutip RM100 sebulan pun hilang. Sudah rugi, kalau kerajaan pada masa itu biar, dah jatuh bankrap pula Tabung Haji. Jadi kita kena bagi suntikan. Siapa bayar? kerajaan bayar balik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat di Betaria Business Centre, di Seremban, malam tadi.
Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju supaya laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH dikelaskan semula dan didedahkan kepada umum semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, laporan berkenaan akan dibentangkan dan dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjadi medium kepada pengundi untuk menyampaikan mesej jelas supaya kelemahan dalam pentadbiran tidak berulang.
Katanya, pengundi juga perlu memastikan harta benda rakyat tidak disalahgunakan atau diambil oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Bagi mesej yang jelas, cukuplah, jagalah negeri ini. Apa pun kelemahan, jangan izinkan negeri ini, harta benda rakyat itu diambil dan kita padamkan,” katanya.






