‘’Kamu hinalah, kamu tekanlah…saya tidak akan  tunduk’’ – Akmal

l

PERGERAKAN Pemuda UMNO menegaskan akan menjadi barisan hadapan bagi memastikan agenda penyatuan ummah terus dipertahankan.

Sehubungan itu, Ketuanya, Datuk Dr.Muhamad Akmal Saleh menegaskan, pergerakan itu itu akan berundur meskipun berdepan tekanan, penghinaan dan usaha untuk memecah-belahkan perjuangan mempertahankan agenda tersebut.

“Apabila kita dah mulakan gelombang penyatuan ummah ini, dah tentu ada yang panas hati, dah tentu ada yang merah mata… macam-macam fitnah dia hamburkan.

“Kamu lukislah, kamu hinalah, kamu tekanlah, tetapi saya tidak akan sama sekali tunduk dan berpatah balik untuk menggadaikan penyatuan ummah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Sebahagian perwakilan dan tetamu yang menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar AMIRUL FAHMI

Muhamad Akmal berkata,  tugas Pemuda kini jauh lebih berat kerana selepas membuka jalan penyatuan tiga tahun lalu, pergerakan itu perlu memastikan penyatuan tersebut terus dipelihara dan diperkukuh.

Tegasnya, usaha memecah-belahkan penyatuan itu sememangnya dijangka semakin kuat seiring dengan perkembangan gelombang berkenaan.

“Dari hari pertama kita dah sedar, makin besar gelombang ini, makin kuat usaha untuk memecahkannya,” katanya.

Beliau menegaskan konsep penyatuan ummah dan penyatuan Melayu-Islam tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada masyarakat bukan Melayu.

“Membela Melayu bukan bererti nak bermusuh dengan orang bukan Melayu. Memartabatkan Islam bukan bererti menafikan hak penganut lain. Ini kerana, dalam Islam, kita diajar, kepimpinan yang kuat mestilah kepimpinan yang mampu berlaku adil kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) juga mempunyai rekod dalam memastikan setiap parti komponen dapat mempertahankan identiti masing-masing tanpa menafikan hak kaum lain.

‘’Barisan Nasional telah membuktikannya. MCA tidak kehilangan identiti Cinanya dan MIC tidak kehilangan identiti Indianya ketika bersama kita. PBRS juga tidak hilang jatidiri bumiputera mereka.

‘’Apabila kita mempertahankan hak Melayu, kita tidak mengambil hak kaum lain. Sejujurnya – Kita juga tidak mahu masyarakat Cina atau India berpecah; dan saya percaya mereka juga tidak mahu melihat orang Melayu terus berpecah. Kerana akhirnya, kita semua mahukan sebuah Malaysia yang lebih aman, lebih makmur dan lebih bahagia,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here