SEORANG kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) meninggal dunia selepas disengat sekumpulan lebah ketika cuba mengambil madu di kawasan ladang agensi itu di Ayer Putih di Kemaman semalam.
Mangsa, Hafizul Mat, 40, yang bertugas sebagai pembantu am di MARDI Cawangan Kemaman disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman pada jam 6.42 petang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.50 pagi ketika mangsa bersama seorang rakan sekerja berusia 44 tahun berada di kawasan MARDI di Kilometer 18, Jalan Ayer Putih.
Menurutnya, rakan mangsa sudah menasihatinya supaya tidak mengambil madu berkenaan kerana sarang lebah itu berada di atas pokok kering setinggi kira-kira tiga meter.
“Rakan sekerja mangsa yang berusia 44 tahun telah menasihatinya supaya tidak mengambil madu berkenaan kerana sarang lebah itu berada di atas pokok kering setinggi kira-kira tiga meter, namun mangsa berkeras untuk meneruskan hasratnya.
“Mangsa meminta rakannya menunggu kira-kira 50 meter dari sarang lebah itu dan dia memanjat pokok berkenaan sebelum diserang sekumpulan lebah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Razi berkata, ketika berada di atas pokok, mangsa menjerit meminta rakannya melarikan diri selepas lebah mengerumuninya.
Katanya lagi, mangsa kemudian turun dari pokok sebelum terjun ke dalam lopak air berhampiran bagi mengelakkan dirinya terus disengat.
Bagaimanapun, mangsa selepas itu mengadu mengalami kesakitan pada kaki dan tangan akibat sengatan lebah sebelum keluar dari lopak berkenaan lalu terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mengalami kekejangan.
Rakan mangsa kemudian mendapatkan bantuan dua lagi rakan sekerja sebelum menghubungi ambulans.
Mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada jam 6.42 petang ketika menerima rawatan.





