TIGA buah kenderaan terbakar dalam kejadian di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Jalan Pandan Prima, Dataran Pandan Prima dekat Ampang malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.27 malam.
Menurutnya, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 8.34 malam dengan bantuan pasukan dari BBP Ampang.
“Sebaik tiba, komander operasi mendapati kebakaran melibatkan tiga buah kenderaan yang berada di kawasan parkir.
“Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire musnah sepenuhnya, manakala sebuah BMW dan sebuah Honda masing-masing mengalami kemusnahan kira-kira 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seramai 14 anggota bersama dua jentera FRT terlibat dalam operasi pemadaman.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.43 malam dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.






