KANAK-kanak lelaki berusia dua tahun yang hilang ketika beriadah bersama keluarganya di Dataran Sungai Jahang, Kampung Jahang, di Gopeng, semalam ditemukan lemas pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat Muhammad Muiz Muhammad Luqman ditemukan pada jam 10.29 pagi, kira-kira lima kilometer dari lokasi dia dipercayai hanyut.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pagi ini dengan penyertaan 10 anggota bomba, 12 anggota polis serta kira-kira 30 penduduk setempat dan pengusaha aktiviti water rafting.
Dua anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM turut digerakkan bagi membantu pencarian di sepanjang tebing sungai, dari lokasi mangsa dipercayai hilang hingga Jambatan Sungai Kampar di Kuala Dipang.
Dalam kejadian semalam, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.06 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng bergegas ke lokasi.
Mangsa dipercayai tiba bersama keluarganya dari Tronoh kira-kira jam 10.30 pagi sebelum disedari hilang dari kawasan permainan di tepi sungai kira-kira sejam kemudian.





