POLIS sedang mengesan sekumpulan individu yang dipercayai bermain mercun di atas jalan raya di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, susulan video perbuatan itu tular di media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti individu terbabit, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi.
“Kita memandang serius perkara ini kerana perbuatan tersebut boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana sambutan perayaan perlu dilakukan di tempat yang tidak mengganggu pengguna jalan raya atau masyarakat umum,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, hari ini.
Video kejadian yang tular sejak Isnin lalu mencetuskan kebimbangan orang ramai berikutan tindakan bermain mercun di laluan yang digunakan kenderaan lain.





