KEHILANGAN pelakon Nadia Kesuma yang dikatakan gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lalu telah dilaporkan kepada polis Arab Saudi.
Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman berkata, laporan mengenai kehilangan pelakon itu telah dibuat dan pihaknya menunggu hasil siasatan polis Arab Saudi.

“Kita sedang tunggu hasil penyiasatan (daripada pihak polis Arab Saudi),” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner M Ravi berkata, laporan kehilangan pelakon Nadia Kesuma telah dirujuk kepada Konsulat Malaysia di Arab Saudi.
Menurut beliau, laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga pelakon itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA semalam diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

Media semalam melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik itu gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis.
Kehilangan itu turut disahkan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) semalam.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, beliau secara peribadi telah memaklumkan perkara terbabit kepada Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk menjejaki pelakon berkenaan.


