SEBUAH keluarga Palestin di Tebing Barat dipaksa menggali semula kubur bapa mereka yang berusia 80 tahun hanya beberapa jam selepas dikebumikan, susulan tekanan dan ancaman daripada penduduk penempatan haram Israel yang mahu merampas tanah serta memperluaskan penempatan.
Menurut laporan Quds News NetWork, kejadian bermula apabila penduduk Israel dari penempatan “Sa-Nur” menyerang rombongan pengebumian. Mereka dilaporkan membaling batu dan merosakkan kenderaan walaupun anggota tentera Israel berada di lokasi kejadian.
Selepas upacara pengebumian selesai, penduduk kampung terkejut apabila kumpulan peneroka haram Yahudi bergerak menuju ke tanah perkuburan dan mula menggali kubur tersebut. Ketika penduduk tempatan cuba mempertahankan maruah si mati, tentera Israel didakwa menghalang mereka daripada memasuki kawasan berkenaan.
Keluarga mangsa turut diugut bahawa jenazah itu akan dibuang tanpa penghormatan sekiranya tidak segera dipindahkan, dengan alasan tanah perkuburan tersebut terlalu dekat dengan pos penempatan “Tarsala”.
Akibat tekanan dan ancaman itu, tujuh pemuda daripada keluarga terlibat terpaksa menggali semula jenazah dan memindahkannya untuk dikebumikan semula di kampung berhampiran, Funduqomiya.
Laporan menyatakan kejadian itu merupakan sebahagian daripada siri pelanggaran dan keganasan yang semakin meningkat terhadap penduduk Palestin di kampung-kampung serta bandar di Tebing Barat.
Pemerhati hak asasi menegaskan bahawa tindakan tersebut bukan lagi sekadar menyekat rakyat Palestin daripada tanah dan kediaman mereka, malah kini melibatkan pencabulan terhadap kesucian kubur serta hak si mati untuk dikebumikan dengan bermaruah di tanah mereka sendiri yang telah dimiliki sejak puluhan tahun lalu.
Kejadian berlaku berhampiran Sa-Nur, sebuah penempatan yang pernah dikosongkan dalam pelan pengunduran Israel pada tahun 2005 sebelum diluluskan semula untuk dibangunkan. Pembinaan penempatan di kawasan itu dilaporkan semakin pesat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Situasi semasa juga menyebabkan penduduk Palestin perlu mendapatkan permit daripada pihak Israel untuk mengebumikan ahli keluarga mereka di kawasan tersebut, walaupun keluarga mangsa dilaporkan telah mematuhi syarat permit pada hari kejadian.
Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengecam keras insiden itu. Pegawai Hak Asasi Manusia PBB, Ajith Sunghay, menyifatkan kejadian tersebut sebagai sangat mengganggu dan mencerminkan proses “nyahkemanusiaan” terhadap rakyat Palestin di wilayah yang diduduki.


