POLIS Makkah menahan 18 warga Pakistan dan Afghanistan kerana memalsukan permit kediaman (iqama), kad Nusuk dan gelang tangan Haji.
Mereka telah dirujuk kepada Pendakwa Raya selepas tindakan undang-undang yang perlu diambil.
Direktorat Keselamatan Awam Umum menyeru semua rakyat dan penduduk supaya mematuhi peraturan serta arahan Haji dan melaporkan sebarang pelanggaran dengan menghubungi talian 911 di wilayah Makkah, Madinah, Riyadh dan Wilayah Timur, serta 999 di kawasan lain dalam Kerajaan Arab Saudi.
Sementara itu, pihak berkuasa Arab Saudi menahan 11,175 individu dalam tempoh seminggu kerana melanggar peraturan menetap, pekerjaan dan keselamatan sempadan.
Sebanyak 6,153 individu ditahan atas kesalahan melanggar undang-undang menetap manakala 3,619 lagi kerana cubaan menyeberangi sempadan secara haram, dan 1,403 lagi atas kesalahan berkaitan pekerjaan.
Laporan itu menunjukkan bahawa daripada 1,411 individu yang ditahan kerana cuba memasuki negara itu secara haram, 62 peratus ialah warga Ethiopia, 36 peratus warga Yaman dan 2 peratus daripada kewarganegaraan lain.
Seramai 23 individu lagi ditahan ketika cuba menyeberang ke negara jiran, manakala 19 orang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan mengangkut dan melindungi pelanggar undang-undang.
Kementerian Dalam Negeri menyatakan bahawa sesiapa yang didapati membantu kemasukan haram ke dalam negara, termasuk menyediakan pengangkutan dan tempat perlindungan, boleh berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda sehingga SR1 juta (AS$267,000), selain penyitaan kenderaan dan harta benda.


