Kemajuan sistem kewangan perlu seiring inovasi, daya tahan dan kestabilan – Amir Hamzah

KEMAJUAN sistem kewangan negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penggunaan teknologi baharu, sebaliknya ia perlu turut mengutamakan aspek inovasi, kepercayaan, daya tahan dan kestabilan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan itu penting bagi memperkukuh asas pasaran, meningkatkan kecekapan serta meluaskan akses kepada modal agar Malaysia kekal kompetitif dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital dan tokenisasi sememangnya akan membuka peluang baharu.

“Namun, nilai sebenar teknologi tersebut bukan terletak pada kebaharuannya, sebaliknya pada potensinya untuk meningkatkan kecekapan pasaran, mengurangkan kekangan dalam transaksi, meluaskan akses serta mewujudkan peluang ekonomi yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pengumuman CIMB berhubung penyelesaian deposit bertoken bagi sukuk bertoken pertama Malaysia di ibu negara hari ini.

Menurut Amir Hamzah, kerjasama erat antara pengawal selia, institusi kewangan, penyedia infrastruktur pasaran, pelabur institusi, syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC), pengurus aset dan syarikat korporat mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh masa depan kewangan negara.

Tambahnya, penglibatan pelbagai pemain industri itu turut menunjukkan keyakinan kukuh terhadap pasaran Malaysia serta aspirasi negara untuk membangunkan ekosistem kewangan yang moden dan dinamik.

“Semangat kerjasama ini akan menjadi semakin penting kerana masa depan sektor kewangan tidak boleh dibentuk oleh mana-mana institusi secara bersendirian.

“Ia memerlukan kepimpinan kawal selia, inovasi yang bertanggungjawab, keyakinan pelabur dan yang paling utama, kerjasama erat dalam keseluruhan ekosistem kewangan,” katanya lagi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here