TINDAKAN seorang pegawai tentera memandu melawan arus membawa padah apabila menyebabkan satu kemalangan maut melibatkan sebuah kenderaan e-hailing di Kilometer 1.9 Lebuhraya MEX, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.38 pagi itu, seorang penumpang lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Ford Fiesta dan sebuah MPV Perodua Alza (kenderaan e-hailing).
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan MPV e-hailing yang dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun.
“Kenderaan e-hailing itu membawa dua penumpang warga Bangladesh yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, selain mangsa yang maut, seorang lagi penumpang wanita warga Bangladesh berusia 20 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Pemandu MPV turut cedera di kepala, manakala pemandu Ford Fiesta hanya mengalami kecederaan ringan. Seorang lagi penumpang wanita tempatan berusia 36 tahun dalam kereta berkenaan turut cedera,” katanya.
Zamzuri berkata, hasil ujian pernafasan mendapati pemandu Ford Fiesta itu berada di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.
“Suspek telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Tambah beliau, polis sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee atau mana-mana balai polis berhampiran.


