HAMPIR separuh daripada 31,517 kes kebankrapan direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga Mac 2026 berpunca daripada akibat hutang peribadi, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasi.
Katanya, data rasmi menunjukkan sebanyak 14,582 kes atau 46 peratus daripada jumlah keseluruhan tersebut dikategorikan sebagai bankrap akibat tekanan hutang peribadi.
Beliau berkata, sebanyak 4,704 kes atau 15 peratus daripada jumlah kes berkenaan melibatkan individu berumur 34 tahun ke bawah.
“Data ini menunjukkan pentingnya kesedaran mengenai pengurusan kewangan dan literasi kewangan dipupuk sejak peringkat awal, terutamanya bagi keluarga muda dalam merancang komitmen kewangan berdasarkan kemampuan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Dasar Peluang Kedua: Pelepasan ‘Fast Track’ (laluan pantas) anjuran Jabatan Insolvensi Malaysia Negeri Johor di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, di Johor Bharu.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan kini memfokuskan usaha memberi peluang kedua kepada empat kumpulan sasar iaitu ibu atau bapa tunggal, pengusaha perniagaan mikro, mangsa penipuan kewangan (scam), dan mangsa projek rumah terbengkalai.
“Dasar ini membolehkan mereka yang terkesan untuk memulakan kembali kehidupan dan menguruskan semula kewangan mereka. Sebagai contoh, ada individu yang menjadi bankrap bukan kerana kegagalan mengurus wang semata-mata, tetapi akibat musibah seperti rumah yang dibeli tidak siap namun tetap menanggung beban hutang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga telah menambah baik kriteria pelepasan bankrap dengan menaikkan tahap ambang daripada RM50,000 kepada RM200,000 bagi memberi ruang lebih luas kepada individu terlibat untuk keluar daripada status tersebut.


