POLIS Kontinjen Selangor akan menyiasat insiden kemalangan membabitkan roller coaster di sebuah taman tema di negeri itu pada 22 Ogos lalu termasuk daripada aspek kecuaian dan unsur sabotaj.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya berkolaborasi dengan pelbagai agensi bagi menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa dan kepakaran masing-masing.
“Siasatan polis dari aspek kemungkinan wujud sebarang elemen kecuaian ataupun sabotaj.
“Namun, ada beberapa agensi lain turut menjalankan siasatan seperti bomba serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor yang akan melihat pelbagai aspek terutamanya aspek teknikal mengikut kepakarannya.
“Pada akhirnya, kita akan duduk berbincang untuk menentukan punca sebenarnya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.
Kelmarin, pengurusan Taman Tema Sunway memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden membabitkan sebuah roller coaster yang mengakibatkan 10 pengunjung cedera di Sunway Lagoon pada 22 Ogos lalu.
Pada masa sama, Shazeli memaklumkan, dua lagi mangsa kejadian itu masih menerima rawatan namun tiada kecederaan serius.
“Setakat ini, hanya dua mangsa cedera masih menerima rawatan di hospital tetapi tidak membabitkan sebarang kecederaan serius.
“Mangsa lain semua sudah dibenarkan pulang dan ada yang menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh siasatan, pengoperasian roller coaster berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
Katanya, polis sudah mengambil keterangan daripada pelbagai pihak termasuk petugas yang menjaga roller coaster, petugas taman tema, mangsa dan pihak lain yang berkaitan.
“Polis sudah selesai menjalankan rakaman percakapan, tetapi kita masih berusaha mencari lagi beberapa maklumat yang berkaitan,” katanya.





