POLIS tidak menemukan sebarang bukti yang menunjukkan seorang guru wanita yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor, bulan lalu, mengalami tekanan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada ahli keluarga, rakan sejawat dan pelajar guru berkenaan bagi membantu siasatan.
“Kami sudah mengambil banyak keterangan daripada ahli keluarga, rakan sejawat dan pelajar beliau.
“Setakat ini, tiada apa-apa yang menunjuk atau mengesahkan wujudnya unsur-unsur tekanan seperti yang dilaporkan oleh pihak media,” katanya pada sidang media, hari ini, lapor BH.
Bagaimanapun, Shazeli berkata, kes berkenaan masih disiasat sebagai mati mengejut (SDR).
“Siasatan masih dijalankan. Kami masih berusaha untuk mendapatkan lebih banyak keterangan sebelum merujuk kertas siasatan SDR itu kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, guru terbabit dikatakan baru bertugas di sekolah berkenaan kurang daripada setahun.
Guru berusia 30-an itu ditemukan meninggal dunia di bilik guru di tingkat satu sekolah berkenaan pada 31 Julai lalu.
Sebelum ini, polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita kira-kira jam 7.15 pagi berhubung kejadian tersebut.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu sebelum disahkan meninggal dunia di jabatan kecemasan hospital berkenaan.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di bilik guru di tingkat satu sekolah tempat mangsa bertugas.





