SEORANG buruh ladang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar, hari ini atas dua pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh berusia 49 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya di sebuah rumah di Tangkak, dekat sini, antara jam 8 hingga 9 pagi dan 9 hingga 10 malam pada 2024 serta Januari lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh merayu supaya mahkamah membenarkan dia diikat jamin, namun permohonan itu dibantah pihak pendakwaan.
Pendakwaan berhujah tertuduh masih berhubung dengan mangsa selain berisiko melarikan diri sekiranya diberikan jaminan serta mengambil kira faktor keselamatan mangsa.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menolak permohonan ikat jamin terhadap tertuduh.
Mahkamah menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Menurut laporan polis, mangsa mendakwa dicabul oleh bapa kandungnya sejak dua tahun lalu ketika berusia 11 tahun.
Mangsa hanya mendedahkan kejadian berkenaan ketika menjalani pemeriksaan kesihatan di sekolah baru-baru ini, lapor Harian Metro.





