‘’Kena cari jalan tegas, keras, segera bebaskan negara daripada rasuah, salah guna kuasa’’ – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan berani dan segera perlu diambil bagi memastikan negara bebas daripada kegiatan rasuah serta salah guna kuasa yang menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan akan melindungi semua pihak yang tegas melaksanakan tanggungjawab membanteras rasuah dan menyelamatkan negara daripada ketirisan hasil selaras dengan komitmen pentadbiran untuk memperkukuh tadbir urus serta integriti nasional.

“Kena cari jalan tegas, keras, segera dan saya akan pertahankan mereka dalam menjalankan tugas menyelamatkan negara.

“Saya sendiri mesti beritahu sokongan penuh saya dengan tindakan mereka dan kita hargai tindakan ini… tapi penguatkuasaan (sahaja) tidak cukup… tindakan tegas, tetapi masih ada (rasuah dan ketirisan),” katanya.

Beliau demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya  hari ini.

Perdana Menteri juga mengingatkan penjawat awam supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasaan dalam memastikan pentadbiran bersih serta berintegriti sebaliknya mereka perlu bersama-sama memikul tanggungjawab itu.

Dalam ucapan itu juga Anwar menegaskan, kerajaan tidak akan terburu-buru mengenakan cukai baharu sebelum memastikan pentadbiran negara benar-benar bebas daripada ketirisan, rasuah dan kelemahan pengurusan.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini ialah membetulkan kelemahan dalam sistem sedia ada agar hasil negara tidak terus bocor kepada pihak yang tidak amanah.

“Sebelum kita fikir soal cukai yang kadang-kadang membebankan rakyat, kita harus betulkan dulu kesilapan dalam pentadbiran kita,” katanya.

 Kata Perdana Menteri, hasil penjimatan besar yang diperoleh daripada usaha mengekang penyeludupan dan rasuah membuktikan bahawa kecekapan pentadbiran mampu meningkatkan sumber negara tanpa perlu membebankan rakyat dengan cukai tambahan.

Anwar berkata, wang yang berjaya diselamatkan itu digunakan semula untuk manfaat rakyat, termasuk bayaran gaji penjawat awam serta pelaksanaan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan inisiatif SARA.

“Kalau nak berikan yang lebih kepada rakyat, ia harus hasil yang lebih. Tapi sebelum fikir soal cukai, fikir dulu kerja kita, pelaksanaan dan sistem yang diwarisi,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menzahirkan penghargaan kepada agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis atas kejayaan mengekang kebocoran hasil negara melalui tindakan bersepadu.

“Kita dapat kawal keterisan, kawal rasuah, kawal penyeludupan. Dua tahun kita dapat selamatkan RM15.5 bilion. Itu daripada penyeludupan, ketirisan dan rasuah,” katanya.

Beliau menjelaskan, langkah membanteras penyelewengan dan mengurus sumber secara telus merupakan asas penting bagi memastikan negara mampu menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat tanpa menaikkan beban fiskal.

“Daripada menyelamatkan wang negara, kita boleh tambah gaji penjawat awam, STR, SARA… Bukan nampak banyak duit, tetapi hasil pengurusan yang cekap,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img