‘’Bukan kanak-kanak yang hilang mainan…kami hanya tuntut rasa hormat’’ –  MCA,MIC jawab Zahid

HUBUNGAN dingin dalam Barisan Nasional (BN) semakin ketara apabila dua presiden parti komponennya menolak kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang menggambarkan mereka ibarat “kanak-kanak yang kehilangan mainan dan berharap untuk mendapatkannya semula.”

Sehubungan itu Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran, menegaskan, dakwaan Zahid bahawa MCA dan MIC hanya berminat pada “mainan” atau jawatan dalam BN adalah tidak benar.

Wee Ka Sing berkata, MCA tidak pernah merayu untuk mendapatkan “mainan”, apatah lagi merajuk hentak-hentak kaki.

‘’Sebaliknya apa yang kami tuntut hanyalah rasa hormat, layanan yang adil, dan mengembalikan semangat BN serta prinsip asal penubuhan parti Perikatan sebelumnya. MCA akan terus menjadi sebuah parti yang bersuara demi rakyat.

”Saya juga menegaskan bahawa negara ini mesti mempromosikan pendidikan dan memupuk bakat secara adil serta saksama untuk semua kaum,’’ katanya melalui Facebook beliau.

Presiden MCA itu juga berkata,  sebagai sebuah parti politik yang bertanggungjawab, MCA juga sentiasa memantau dan memperjuangkan ketelusan dalam dasar kemasukan pelajar ke universiti.

‘’Kami mahu memastikan semua pelajar cemerlang dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang pilihan mereka dan terus kekal di Malaysia, bukannya membiarkan bakat mereka terbuang di luar negara,’’ katanya.

Pada masa  sama, kata beliau MCA terus menyuarakan isu-isu utama yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat -seperti RUU Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB / URA), yang mendapat tentangan hebat daripada banyak NGO, dan subsidi tong Gas Petroleum Cecair (LPG) yang memberi impak kepada kehidupan harian.

‘’Oleh itu, saya menyeru semua ahli MCA di Pahang khususnya supaya berani bersuara demi rakyat, aktif berkhidmat kepada masyarakat dan berusaha meraih kepercayaan serta sokongan pengundi agar MCA Pahang dapat mengembalikan zaman kegemilangan suatu ketika dahulu,’’ katanya.

Vigneswaran turut menafikan dakwaan bahawa MIC mengejar jawatan, sebaliknya menegaskan partinya menuntut maruah.

“Mereka (ketua-ketua bahagian) juga melahirkan kebimbangan tentang cara MIC dilayan oleh kepimpinan BN. Mereka mahu parti ini dilayan dengan maruah dan penghormatan. Mereka memberitahu CEC (Jawatankuasa Eksekutif Pusat) supaya melakukan apa yang dirasakan terbaik untuk masa depan MIC,” katanya yang dipetik Free Malaysia Today.

Kedua-dua parti itu kini sedang menilai kemungkinan keluar daripada BN berikutan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan mereka dalam politik nasional, khususnya selepas Umno di bawah pimpinan Zahid menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Antara kebimbangan utama mereka ialah pembahagian kerusi pilihan raya yang memihak kepada parti penyandang. Berdasarkan formula perkongsian kerusi antara BN dan PH, MCA dan MIC dijangka hanya akan mendapat sebilangan kecil kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketika ini, MCA hanya memiliki dua kerusi Parlimen, manakala MIC satu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img