NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mempersoalkan naratif ‘DAP musuh UMNO’ menegaskan, bukan DAP yang patut dibimbangkan UMNO, sebaliknya kegagalan orang Melayu bersatu.
“Kenapa perlu takut dengan DAP? Tiada sebab kita perlu takut dengan DAP. Kalau kita tak pernah takut dengan Gerakan, tak pernah takut dengan MCA, tak pernah takut dengan mana-mana parti bukan berasaskan Melayu, kenapa perlu takut dengan DAP?,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusa Dagangan Dunia (PWTC) hari ini.
Mengenai ‘Rumah Bangsa’, Johari berkata, beliau menyokong langkah Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi membuka UMNO untuk penyatuan Melayu.
“Kalau Pas tak mahu, sudahlah, kita tak boleh paksa,” katanya.
Johari turut mengimbau ketika UMNO mengundang Pas menghadiri Perhimpunan Agung pada 2019 atas semangat perpaduan Melayu menerusi Muafakat Nasional (MN).
“Dulu kita bawa mereka ke sini sampai kita semua menangis, tapi kita saja yang menangis, mereka tidak. Akhirnya, sekarang apa jadi?,’’ katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan beliau tiada masalah dengan Pas, malah membantu penyokong parti itu di kawasannya.
“Saya tiada masalah dengan Pas sebab mereka orang Melayu. Di kawasan saya, mana-mana orang Pas datang jumpa saya, saya bantu semua,” katanya.


