KETIKA Malaysia mengharungi krisis bekalan global yang sedang berlaku, adalah penting untuk negara mengenal pasti dan melaksanakan laluan pembangunan yang mampu menghasilkan penambahbaikan berkekalan terhadap kesejahteraan rakyat secara keseluruhan, di samping meningkatkan kualiti hidup isi rumah serta produktiviti sektor perniagaan.
Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Nur Fareza Mustapha berkata, langkah-langkah bantuan jangka pendek — termasuk pengurusan permintaan terhadap bahan api bersubsidi — sememangnya perlu dan wajar diteruskan.
Namun demikian, tegasnya langkah-langkah tersebut sahaja tidak mencukupi memandangkan Malaysia juga perlu melaksanakan intervensi strategik yang selaras dengan matlamat pembangunan jangka panjang negara sebagaimana digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) serta kerangka Malaysia MADANI.
‘’Krisis yang sedang dihadapi bukan sekadar cabaran yang perlu ditangani, malah merupakan peluang untuk melaksanakan pembaharuan struktur yang mampu memperkukuh daya tahan ekonomi negara, menjamin keselamatan tenaga, meningkatkan produktiviti, mengukuhkan kedudukan fiskal serta memastikan kemakmuran yang lebih mampan untuk generasi akan datang,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam artikel bertajuk *Turning Turbulence into Opportunity: How Malaysia Can Thrive in an Age of Uncertainty*.
Dr. Nur Fareza berkata, krisis sering kali membuka ruang kepada pembuat dasar untuk melaksanakan tindakan yang dalam keadaan biasa mungkin sukar diterima dari sudut politik.
Katanya, tempoh yang penuh ketidaktentuan seperti ini mampu mewujudkan “detik persimpangan kritikal” (critical junctures) yang akan menentukan hala tuju pembangunan sesebuah negara untuk tempoh yang panjang.
‘’Gabungan antara kejutan luar (exogenous shocks) dan perubahan dalaman (endogenous change) mewujudkan keadaan yang membolehkan institusi, dasar dan kerangka pembangunan negara dirunding semula atau ditransformasikan secara menyeluruh oleh pelbagai pihak yang berkepentingan dalam sistem ekonomi dan politik,’’ katanya.
Beliau berkata, krisis tenaga global ketika ini mempunyai persamaan yang amat ketara dengan pergolakan yang berlaku pada tahun 1970-an, bukan sahaja kepada dunia, malah kepada Malaysia sendiri.
Katanya, penutupan berpanjangan Selat Hormuz, yang lazimnya menjadi laluan kepada kira-kira 20 peratus perdagangan minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) dunia, serta serangan terhadap kemudahan tenaga telah menimbulkan kebimbangan bahawa walaupun kebuntuan geopolitik semasa akhirnya dapat diselesaikan, ia mungkin tidak akan membawa pemulihan segera terhadap gangguan bekalan global yang telah dan bakal berlaku akibat ketegangan tersebut.
‘’Walaupun begitu, peristiwa yang berlaku pada tahun 1970-an memberikan contoh yang berguna tentang bagaimana kita boleh mengharungi krisis yang sedang berlaku pada masa ini.
‘’Lebih penting lagi, krisis tenaga pada tahun 1970-an memberi gambaran tentang kesan peringkat kedua (second-order effects) akibat kejutan harga minyak, yang melangkaui sekadar gangguan bekalan dan tekanan inflasi,’’ katanya.
Dr.Nur Fareza berkata, pada tahun 1974, ketika dunia sedang berdepan kekurangan bekalan produk petroleum, sokongan padu ahli-ahli Parlimen terhadap penggubalan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Petroleum Development Act 1974) membawa kepada penubuhan PETRONAS sebagai sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.
‘’Melalui akta tersebut, PETRONAS diberikan hak eksklusif untuk menjalankan aktiviti penerokaan dan eksploitasi sumber petroleum di daratan dan luar pesisir negara, pada ketika sebahagian besar medan minyak Malaysia masih dibangunkan oleh syarikat-syarikat asing.
‘’Menerusi Akta Pembangunan Petroleum 1974, Malaysia menegaskan hak serta kedaulatan negara terhadap kawalan dan pengurusan sumber petroleum yang berada dalam wilayah serta bidang kuasa negara,’’ katanya.
Beliau berkata, hasil daripada industri petroleum berkembang menjadi antara sumber pendapatan terbesar negara yang digunakan untuk membiayai pembangunan ekonomi Malaysia.
Menurut beliau, satu lagi inisiatif penting yang lahir secara langsung daripada kejutan minyak 1973/74 ialah pelaksanaan Rancangan Buku Hijau (Gerakan Bumijaya).
‘’Pada 20 Disember 1974, ketika memperkenalkan rancangan tersebut, Perdana Menteri Tun Abdul Razak menegaskan bahawa dalam keadaan negara berdepan krisis, keutamaan perlu diberikan kepada pemanfaatan tanah berbanding tuntutan terhadap hak pemilikan tanah.
‘’Rancangan Buku Hijau bertujuan meningkatkan penanaman dan pengeluaran tanaman makanan bagi mengatasi kekurangan bekalan makanan yang dihadapi negara, di samping menambah pendapatan serta meningkatkan taraf kehidupan penduduk luar bandar,’’ katanya.
Dr. Nur Fareza berkata, bersama-sama dengan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) yang mula dilaksanakan pada tahun 1971, Rancangan Buku Hijau menjadi antara instrumen utama kerajaan untuk memperkukuh pembangunan luar bandar, yang merupakan salah satu keutamaan ekonomi dan politik negara pada ketika itu.






