Pas junjung kasih pengampunan bersyarat terhadap Najib

PAS melahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengampunan itu membolehkan bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

“Pas melafaz setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT dan merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di atas ampun perkenan Baginda memberi pengampunan bersyarat kepada Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib sebelum ini menjalani hukuman penjara susulan sabitan kesalahan berkaitan kes SRC International. Beliau mula menjalani hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Pada Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan keputusan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Takiyuddin dalam pada itu berkata, perkembangan hari ini amat bermakna bukan sahaja kepada keluarga Najib, malah seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mengenang dan menghargai jasa serta khidmat bakti beliau sebagai pemimpin negara.

Pas turut mendoakan agar Najib diberikan kesihatan yang baik sepanjang menjalani baki hukuman di rumah, selain menyatakan keyakinan bahawa beliau masih mampu menyumbang kepada negara.

“Pas seterusnya mendoakan agar Dato’ Sri Mohd Najib terus diberikan kesihatan yang baik semasa menjalani baki hukuman terhadapnya di rumah dan yakin beliau masih boleh memberikan sumbangan idea, pandangan dan pengalamannya demi untuk kebaikan negara,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here