KERAJAAN negeri Johor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School di Forest City susulan kebimbangan orang ramai termasuk dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
Tegas beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan diminta menjalankan semakan dan siasatan menyeluruh.

“Siasatan itu merangkumi identiti dan kewarganegaraan individu yang terbabit, dokumen perjalanan serta penggunaan pasport kedua, jenis pas dan tujuan kemasukan ke Malaysia, selain memastikan keselarasan antara tujuan kemasukan dengan aktiviti sebenar yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Onn Hafiz berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital dan agensi kawal selia berkaitan turut diminta menentukan status sebenar operasi Network School serta sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan di bawah undang-undang negara.
Beliau berkata, di peringkat negeri, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak semula semua aspek pematuhan yang berada di bawah bidang kuasa masing-masing.
Katanya, semakan itu meliputi pematuhan terhadap syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta keperluan perundangan dan peraturan lain yang berkuat kuasa.
“Jika siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, atau sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri serta keselamatan negara, Kerajaan Negeri menggesa supaya tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan Johor akan terus bertindak secara bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang bagi melindungi kepentingan negeri serta mempertahankan kedaulatan negara.
Kontroversi itu tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City, dengan ada hantaran mendakwa projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.






