Pengkritik sukan dipukul nafi ada musuh, berhutang dengan ahlong

PENGKRITIK sukan, Azizurrahman Zakaria atau dikenali sebagai Joe Zakaria mengaku beliau tidak bermusuh dengan sesiapa selepas diserang dua lelaki sehingga retak tulang rongga mata, Sabtu lalu.

YouTuber itu juga berkata, beliau tidak pernah berhutang dengan sindiket peminjam wang haram atau ahlong sehingga menyebabkan dirinya diserang secara tiba-tiba ketika mengisi angin tayar kereta di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.

“Saya tiada permusuhan dengan sesiapa. Saya sedang mengisi angin kereta apabila tiba-tiba datang dua lelaki yang menendang kepala dan memukul saya tanpa henti.

“Seorang lelaki kemudian datang cuba membantu,” katanya hari ini, lapor BH.

Rakaman kejadian itu turut tular menunjukkan Azizurrahman ditumbuk dan diterajang beberapa kali sehingga terduduk, sebelum orang awam cuba meleraikan serangan.

Beliau juga dilihat cuba meminta bantuan, manakala kedua-dua penyerang memakai topi keledar dan pelitup muka sehingga identiti mereka sukar dikenal pasti.

Rakaman asal yang dimuat naik Azizurrahman dipadamkan, namun video itu kemudiannya dikongsi semula beberapa platform media sosial.

Pengkritik bola sepak itu berkata, seorang daripada penyerang kemudian merakam video sambil menuduhnya mencuri sebelum mereka beredar.

“Dia cakap ‘ini orang curi, ini orang curi’ dan saya tanya balik ‘curi apa?’, tetapi mereka terus beredar,” katanya.

Ditanya sama ada serangan itu mungkin berkait dengan komentarnya mengenai bola sepak tempatan, beliau berkata, tiada motif jelas dan tidak mengesyaki mana-mana individu.

“Saya tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan sesiapa, tidak berhutang dengan ahlong, tidak mengganggu isteri orang atau mempunyai masalah samseng jalan raya.

“Laporan polis sudah dibuat, jadi saya serahkan kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Azizurrahman, berkata keadaan kesihatannya semakin pulih, namun masih sukar bercakap kerana rahangnya bengkak.

“Saya mengalami keretakan pada tulang rongga mata serta luka di kaki dan tangan. Alhamdulillah, keadaan semakin pulih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat dalam kenyataan hari ini berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.56 malam, Sabtu lalu.

Siasatan awal mendapati mangsa yang mahu mengisi angin tayar didatangi dua lelaki menaiki motosikal Yamaha LC sebelum dipukul berkali-kali dan dirakam.

Shamsudin berkata, mangsa patah tulang mata dan beberapa kecederaan lain, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.

Menurutnya, usaha mengesan suspek masih giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Untuk rekod, Azizurrahman yang menggunakan nama Joe Zakaria menerusi saluran YouTube Joe Zakaria (YTSK), aktif menghasilkan kandungan berkaitan jersi dan kasut bola serta berkongsi pandangan mengenai bola sepak tempatan.

Saluran berkenaan mempunyai kira-kira 10,900 pelanggan dengan lebih 150 video setakat semakan hari ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img