SEBANYAK 12 lelaki berusia antara 14 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di Kampung Hidayat 2, Pulau Bum-Bum, Semporna awal pagi tadi.
Penahanan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan penganjuran pertandingan Ratu Pondan berdasarkan maklumat awal pihak berkuasa mengenai aktiviti berkenaan.
Daripada jumlah itu, empat individu dikenal pasti sebagai warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala selebihnya memiliki dokumen pelarian IMM13 dan kad pengenalan Malaysia.
Pegawai JHEAINS Semporna, Mohd Juseph Ahmad Kapala berkata, operasi yang berlangsung dari kira-kira jam 11 malam hingga 3 pagi itu diketuai beliau bersama lima pegawai jabatan berkenaan.
Katanya, operasi itu turut mendapat kerjasama 11 anggota polis dari Balai Polis Pulau Bum-Bum.
“Dalam operasi ini, kami menahan 12 individu masing-masing berusia antara 14 hingga 40 tahun yang berpakaian menyerupai wanita untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi JHEAINS Semporna, hari ini.
Beliau berkata, pihak berkuasa turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan pertandingan berkenaan, termasuk piala, sijil dan hamper.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan menerusi kerjasama JHEAINS dan polis bagi menjalankan penguatkuasaan undang-undang berkaitan.





