POLIS sedang mengesan sekumpulan lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian membakar mercun di persimpangan Jalan Hamzah, Seksyen U14, Shah Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, laporan berhubung kejadian itu dibuat Ketua Polis Balai Bukit Jelutong, hari ini susulan penularan video insiden terbabit.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.22 petang ketika perarakan kematian menuju ke Tapak Perkuburan Bliss Garden, Setia Alam.
“Siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek yang terlibat dalam aktiviti membakar mercun ini dan saksi yang berada di tempat kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sarudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohd Razi Sahari di talian 019-5717076.
Terdahulu, insiden berkenaan tular di media sosial menerusi aplikasi Threads yang memaparkan sekumpulan lelaki membakar mercun di lokasi terbabit.





