UMNO akan terus mempertahankan kestabilan politik negara selagi tempoh Kerajaan Perpaduan belum sampai kepada pilihan raya, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, Kerajaan Perpaduan tidak retak atau menanti masa untuk berpecah kerana semua pihak masih berpegang kepada perjanjian pembentukan kerajaan tersebut.
“”Selagi mana kita belum sampai tempoh pilihan raya, asasnya kita tidak akan menebuk atap ataupun merubah kerajaan ini dengan perubahan hanya sekadar Perdana Menteri.
“Rundingan politik bagi menghadapi PRU16 (Pilihan Raya Umum Ke-16) hanya akan bermula selepas pembubaran Parlimen diumumkan,” katanya pada sidang media di Perhimpunan Agung UMNO 2026, di Kuala Lumpur.
Asyraf Wajdi turut menegaskan kepentingan semua pihak menghormati perkara yang telah termaktub dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Daripada awal lagi kita harus menghormati perkara yang termaktub di dalam perjanjian. Menonjolkan Kerajaan MADANI daripada Kerajaan Perpaduan yang disepakati.
“Bukan kerajaan satu parti tetapi ada dua parti dan dinamakan Kerajaan Perpaduan Malaysia. Perdana Menteri mesti rujuk kepada semua. Rujuk kembali perjanjian dan kini banyak yang dah mula longgar,” katanya.
Mengulas desakan UMNO untuk PRU16 disegerakan, Asyraf Wajdi menjelaskan, parti melihat negara kini sudah memasuki ‘edah pilihan raya’ selepas tempoh tiga tahun daripada penggal lima tahun Parlimen, meskipun tempoh penuh tahun masih belum berakhir.
Beliau berkata, UMNO sebagai kerajaan dan parti yang bertanggungjawab berpandangan mandat perlu dikembalikan kepada rakyat untuk memilih apabila tiba masanya.
Katanya, selepas tiga tahun adalah tempoh yang dibolehkan untuk mengadakan pilihan raya.
“Sama seperti PRN Johor. Tak boleh syok sendiri dan mesti mendapat mandat yang jelas daripada rakyat,” katanya.





