Kes rampasan dadah di Indonesia: Polis beku akaun bank,aset kewangan juruterbang kedua

POLIS membekukan akaun bank dan aset kewangan yang dikaitkan dengan seorang lagi juruterbang yang ditahan berhubung rampasan dadah bernilai RM45 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia pada Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, juruterbang kedua itu yang disyaki bertindak sebagai orang tengah antara juruterbang Malaysia Airlines berkenaan dengan sindiket dadah akan ditahan selama 60 hari di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Beliau berkata, pihak penyiasat kini sedang meneliti akaun bank juruterbang berkenaan serta rekod kewangan lain yang mempunyai kaitan dengannya.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah wang yang ditemui dalam akaun bank juruterbang itu.

“Dia (juruterbang kedua) adalah sebahagian daripada sindiket yang terbabit dalam aliran wang hasil daripada penjualan dadah dan memainkan peranan membantu pembantu juruterbang berkenaan menerima wang dan memindahkannya,” katanya lapor Buletin TV3.

Beliau berkata,  membantu individu yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah, termasuk menerima hasil jualan dadah atau membenarkan akaun bank digunakan untuk tujuan itu, akan dianggap sebagai penglibatan dalam pengedaran dadah dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang berkaitan dadah.

“Kami tidak menahannya di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, sebaliknya menahannya di bawah langkah pencegahan khas selama 60 hari,” katanya.

Hussein berkata, tempoh tahanan itu bermula pada hari juruterbang berkenaan ditahan dan kes kemudiannya dirujuk kepada Lembaga Penasihat untuk menentukan sama ada suspek perlu ditahan untuk tempoh tambahan selama dua tahun.

Awal minggu ini, polis menahan juruterbang kedua itu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah yang dikaitkan dengan penahanan seorang pembantu juruterbang di Jakarta bersama 15 bungkusan mengandungi kira-kira 70,000 kapsul disyaki ekstasi dan metamfetamina, dengan berat kira-kira 25 kilogram serta dianggarkan bernilai RM45 juta.

Suspek terbaharu, seorang rakyat Malaysia berusia 30-an, ditahan di Lembah Klang pada 7 September, menjadikan jumlah individu ditahan di Malaysia berkaitan kes itu kepada tujuh orang. Enam lagi yang ditahan ialah lelaki warga Malaysia berusia antara 23 hingga 50 tahun.

Polis percaya keenam-enam mereka bertindak sebagai pembekal dan penghantar kepada juruterbang berkenaan serta memainkan peranan pada peringkat “upline” dan “downline” dalam rangkaian pengedaran dadah tersebut. Mereka kemudiannya ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here